SHARE

Macam-macam perkara yang tidak masuk akal tetapi masih dipercayai sesetengah orang. Ini kerana liciknya sindiket penipuan atau scam dalam mencari mangsa.

Golongan ustaz juga tidak terkecuali kerana dilaporkan baru-baru ini ada seorang ustaz terpedaya dengan penipuan didalangi Pak Arab sehingga kehilangan wang kira-kira RM500,000.

Setelah terpedaya, ustaz berkenaan memujuk orang ramai dan kenalannya ‘melabur’ dan akhirnya lebur begitu sahaja.

“Ustaz itu kata, dia terpedaya apabila pak sheikh (orang Arab) itu menunjukkannya bayangan seorang puteri cantik dan dia diberitahu akan mendapat harta karun yang dibawa oleh tujuh ekor unta.

“Cerita macam tak logik namun itulah yang berlaku sehingga ustaz yang berada di Ampang ini terpedaya.”

Cerita Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan ketika menjadi tetamu segmen Warna Pagi di IKIM FM dipetik MalaysiaGazette sebelum ini.

Menurutnya, pelbagai cara digunakan dalang scammer untuk menipu wang orang ramai malah ada ahli PPIM sendiri hampir menjadi mangsa.

“Ada ahli kita (PPIM) yang baru lima enam bulan bertugas juga hampir percaya apabila dia menerima panggilan telefon orang yang menyamar menjadi polis dan mahu wang daripadanya.

“Menurutnya, semasa bercakap di telefon, dia dengar suasana seperti balai polis dan hampir percaya,” ujarnya yang lebih dikenali sebagai Tokki.

Nadzim sendiri berkata pernah menerima panggilan daripada scammer yang mendakwa anak kepada bekas Presiden Uganda yang meminta bantuannya dan ditawarkan emas bernilai jutaan ringgit.

“Dia mungkin tidak kenal saya, jadi saya minta bertemu dengannya dan dalam pertemuan itu saya membawa polis sekali. Jadi polis cekup dia semasa pertemuan,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here