Tindakan Jais macam Taliban kata Dr Maza

Bekas mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin membidas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menyerbu majlis perkahwinan pasangan Hindu baru-baru ini, dan menyatakan kebimbangannya negara kini menuju ke arah “Talibanisasi”.

Mohd Asri mempertikaikan tindakan Jais itu yang dikatakan akan menyebabkan imej Islam tercemar.

“Jais perlu hati-hati kerana ia akan beri imej salah kepada masyarakat, malah dunia akan beri perhatian isu ini.

“Semakin hari masyarakat dunia melihat dunia ini cenderung kepada proses Talibanisasi dalam beragama disebabkan tindakan ini,” katanya.

Asri juga mengkritik tindakan Jais sebagai tidak bijak yang kemudian akan menimbulkan pelbagai salah sangka di kalangan masyarakat di Malaysia.

“Ini semua tindakan tidak bijak, tidak ada kebijaksanaan yang akan beri imej negatif dalam pengurusan agama pada ketika kita sudah mempunyai isu yang banyak memberi imej negatif dan salah sangka bukan di kalangan bukan Islam sahaja tapi juga umat Islam sendiri.

“Ia sangat bercanggah dengan kempen wasatiyah yang dibawa oleh perdana menteri sendiri,” katanya.

Pendakwah terkenal itu juga mempersoalkan keperluan Jais untuk menyerbu pada ketika majlis perkahwinan sedang berlangsung dan tidak memanggil dan menyiasat sebelum itu.

“Sepatutnya Jais boleh selesaikan isu ini lebih awal apabila ada maklumat, kenapa hari perkahwinan baru hendak serbu dan lakukan soal siasat, kenapa sebelum itu tidak buat,” katanya.

Beliau berkata, Jais sepatutnya menyelesaikan perkara tersebut secara profesional dan bukan dengan menyerbu secara melulu.

“Agama ini bukan satu paksaan, sepatutnya mereka (Jais) panggil dengan cara baik dan siasat lebih awal, ini bukan zaman paksaan lagi,” katanya.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu menyarankan agar isu mengenai mualaf di mana ibu bapa memeluk Islam diteliti semula memandangkan situasi ketika ini sudah berubah.

“Pada zaman dulu, orang keluar Islam sebab ada elemen pengkhianatan dan dalam mana-mana undang-undang memang hukumannya keras, bukan sahaja di dunia Islam tapi agama Kristian pun ada hukumannya.

“Tapi sekarang ini kita berdepan suasana baru dan memerlukan ijtihad baru serta pandangan baru dalam hal ini. Kita kena lihat balik faktor-faktor ini untuk melihat dalam suasana lebih matang tentang masalah bukan Islam yang emak dan bapa peluk Islam,” katanya.

Beliau berkata, zaman dahulu hukuman kepada mereka yang keluar Islam adalah berat, zaman moden sekarang berbeza sama sekali kerana setiap negara berwilayah.

“Suasana sudah tidak sama pada zaman awal dahulu kerana dahulu orang peluk Islam atas kerelaannya dan kemudian keluar, ini seakan-akan ada elemen pengkhianatan.

“Zaman dulu juga tidak ada negara bersempadan, tapi yang membezakannya hanya pegangan akidah. Apa yang membezakan dengan yang sekarang adalah wilayah ada negara, ada kad pengenalan dan pasport,” katanya.

Asri berkata, isu melibatkan kes mualaf ini perlu dibincang supaya selari dengan konteks zaman moden sekarang.

“Kita kena bincang pandangan yang lepas supaya ia kena dengan konteks zaman moden,” katanya. – The Malaysian Insider

Artikel Berkaitan

Apa Kata Anda

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *