SHARE

Bermula semalam, syarikat gergasi rokok di Amerika Syarikat mula mengambil ruang iklan muka surat penuh di akhbar harian sehingga Mac depan untuk membuat pengakuan yang merokok boleh menyebabkan maut, selepas arahan mahkamah.

Pada masa sama, syarikat rokok juga dipaksa membayar iklan televisyen yang akan dipaparkan setiap malam pada waktu puncak selama setahun.

Ia merupakan keputusan Mahkamah Persekutuan AS selepas kes yang sudah berusia 19 tahun yang dibawa Jabatan Kehakiman (DoJ).

Syarikat rokok Altria, RJ Reynolds, Lorrillard dan Philip Morris dijangka membelanjakan beratus juta dolar untuk mengiklan di 50 akhbar tempatan.

Kos mengiklan itu boleh mencecah AS$1 juta sejam atau AS$8.2 bilion setahun, dan akan turut dipaparkan di kedai runcit dan pusat hiburan dewasa.

Pada 2006, sebuah mahkamah mendapati syarikat tersebut tidak jujur dan menipu rakyat AS. Selepas proses litigasi yang berjalan selama 10 tahun, persetujuan dicapai mengenai bentuk dan format kenyataan pembetulan yang perlu dikeluarkan syarikat rokok.

Antara kenyataan yang akan diiklankan ialah:

“Lebih ramai terkorban setiap tahun akibat merokok daripada dibunuhm AIDS, bunuh diri, dadah, kemalangan dan alkohol.”

“Apabila anda merokok, nikotin mengubah otak anda — sebab itu susah untuk berhenti merokok.”

Bagaimanapun, undang-undang tidak menghendaki syarikat rokok antarabangsa itu membuat kenyataan itu di luar AS. – FMT

Artikel Berkaitan

BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here