Pesilat legenda negara, Zakri Ibrahim mendesak Menteri Belia dan Sukan menarik balik kenyataannya mengenai orang lama ‘berehat di muzium’.

Bekas juara dunia silat olahraga di Jakarta pada tahun 2000 itu, terkilan dengan kata-kata Khairy Jamaluddin yang menyuruh bekas pemain-pemain bola sepak kebangsaan berehat di muzium apabila mereka lantang mengkritik presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Apabila menteri kita selamba kata ‘cam tu’ khas untuk bola sepak, tetapi kami sebagai bekas atlet turut berasa tempiasnya.

“Beliau seharusnya perlu berhati-hati membuat sebarang kenyataan. Jangan main lepas cakap,” ujarnya kepada mStar Online.

Menurut Zakri, 49, sebagai orang lama dalam sukan, mereka hanya memberi pandangan untuk kebaikan badan induk persatuan.

“Kami bukan ingin menghentam. Hanya untuk kongsi pengalaman. Nak terima atau tidak, terpulanglah.

“Tetapi janganlah kata kami penghuni muzium.

“Apa yang beliau katakan itu hanya akan menjatuhkan imej sukan negara.

“Apalah sangat pengorbanan bekas atlet ini semua apabila jasa kita hanya diperah untuk imej beliau selepas itu,” jelasnya.

Zakri yang bersara sebagai atlet kebangsaan pada tahun 2004 memberitahu, dia pernah bersemuka dengan Khairy ketika dialog TN50 di Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini.

“Saya orang pertama yang lontarkan mengenai persoalan masa depan atlet dan bekas atlet sukan.

“Namun tidak ada yang jelas. Senyap sampai sekarang.

“Bukan saya sahaja, malah ramai lain bekas atlet yang pilu dengan kenyataan beliau,” tambah Zakri yang bekerja sebagai pengiring peribadi di sebuah syarikat swasta.

Pada Jumaat, sebuah akhbar tempatan melaporkan Khairy menggesa semua pihak terutama bekas pemain kebangsaan supaya berhenti mengkritik JDT dan pengurusan FAM berhubung prestasi buruk skuad Harimau Malaya dan kemerosotan ranking dunia.

Beliau berharap bekas pemain kebangsaan berhenti daripada terus lantang mengkritik FAM biarpun menghargai pandangan mereka sebagai orang lama.

Jelas Khairy, mereka sepatutnya berehat di ‘muzium’, berilah generasi baharu mengendalikan bola sepak negara. – mStar

Artikel Berkaitan

BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here