Tak kesal tampar David Teo – Mat Over

Pelakon Sulaiman Yassin atau Mat Over tidak kesal dengan tindakannya menampar penerbit filem dan drama, Datuk David Teo pada sesi sesi Dialog Transformasi Nasional TN50 yang turut dihadiri Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya semalam.

“Saya tak rasa apa yang saya buat itu keterlaluan kerana tindakan berkenaan untuk mengajarnya cara beradab terutama di hadapan pemimpin yang menjadi tuan rumah pada acara ini,” katanya dipetik Harian Metro, selepas insiden malam tadi yang mengganggu sesi bagi mendapatkan luahan “penggiat seni” di Malaysia.

“Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia perlu ada adab dan hormat-menghormati,” katanya yang turut meminta maaf pada sesi akhir dialog.

Bahang mula terasa selepas Teo mempersoalkan Datuk Rosyam Nor, yang bertindak sebagai pengerusi tidak memberikan peluang kepada barisan belakang mengajukan soalan kepada Najib.

Selepas dibenarkan untuk meneruskan soalan, Mat Over tiba-tiba meluru dan menampar Teo. Pergelutan berlaku sehingga pasukan keselamatan meleraikan keadaan.

Insiden itu dirakam secara langsung menerusi Facebook. Najib kemudian dilihat menenangkan keadaan dengan berkata “Relaks, relaks.”

Teo, dipetik Harian Metro sebagai berkata beliau tidak mengenali Mat Over dan tidak akan mengambil tindakan undang-undang.

“Saya hanya mempersoalkan tindakan Rosyam tidak menggunakan pentas bulat itu dengan sepenuhnya dan hanya fokus satu arah di depan saja sedangkan saya juga mahu bertanyakan soalan kepada perdana menteri.

“Saya tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang dan sudah memaafkannya,” lapor FMT.

Artikel Berkaitan

Apa Kata Anda

One thought on “Tak kesal tampar David Teo – Mat Over

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *