Sifar peratus – Mana semua wanita Terengganu?

Selangor paling ramai mempunyai wanita dalam pentadbiran dan politik, manakala Terengganu langsung tidak ada wakil wanita, menurut statistik yang dipetik seorang Adun Selangor sempena Hari Wanita Sedunia.

Malah, tinjauan FMT mendapati, jawatan exco kerajaan negeri Terengganu yang bertanggungjawab hal ehwal wanita juga disandang seorang lelaki, Roslee Daud.

Selangor mempunyai 27% wanita sebagai wakil rakyat, diikuti Johor (16%) dan Pulau Pinang (15%).

Bagi Adun Damansara, Yeo Bee Yin, prestasi Selangor itu masih banyak ruang untuk tambah baik, walaupun selepas pelantikan Hannah Yeoh sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, selepas pilihan raya umum 2013 lalu.

“Semua parti politik mesti berusaha menarik penyertaan lebih ramai wanita dalam politik dengan memecahkan batas budaya dan struktur.

“Kita perlu lebih ramai wanita menyertai politik, supaya mampu memecahkan anggapan tradisional mengenai peranan wanita dalam masyarakat,” katanya dalam coretan ringkas sempena Hari Wanita Sedunia yang diraikan pada 8 Mac setiap tahun.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata keadilan sosial boleh dicapai sekiranya lebih ramai wanita menyertai pentadbiran negara.

Beliau memetik statistk Jabatan Perangkaan Negara, yang menganggarkan bilangan wanita di Malaysia kini 15.3, berbanding 16.4 juta lelaki.

“Dengan saiz kumpulan jantina yang besar, sudah tentu kewujudan wanita begitu signifikan dalam kumpulan masyarakat. Bermula dengan melahirkan zuriat sebagai generasi anak watan sehinggalah penglibatan dalam pentadbiran negara, kehadiran wanita memberi sumbangan tidak ternilai kepada Malaysia.

“Oleh itu, saya bersetuju dengan usaha pihak kerajaan untuk menambahkan penglibatan wanita dalam sektor tenaga kerja sebanyak 59% untuk memperkasakan sumbangan wanita dalam ekonomi negara,” kata Fuziah.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, kerajaan merancang penyertaan wanita dalam pasaran tenaga kerja ditingkatkan daripada 53.6% pada 2016 kepada kepada 59% menjelang 2020.

Sementara itu, Yeo berkata perlu lebih banyak usaha menutup jurang lelaki dan wanita berkenaan penglibatan mereka dalam masyarakat.

“Saya percaya, antara perkara paling mustahak dilakukan untuk memperkasakan wanita ialah dengan mewujudkan perwakilan wanita yang lebih bererti di peringkat kabinet dan parlimen, kerana pemerkasaan wanita perlu kepada reformasi dasar,” katanya. – FMT

Komen Anda

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *