Pas wajar ambil tindakan segera mengadakan pertemuan dengan Umno bagi membentuk kerjasama antara kedua-dua parti demi kepentingan rakyat dan negara.

Veteran Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, kerjasama tersebut bukan bermaksud ke arah pembentukan kerajaan perpaduan (UG) Pas dan Umno sebaliknya lebih menjurus kepada konsep ta’awun atau saling bantu–membantu melibatkan kedua-dua pihak.

Mustafa berkata, perkara itu pernah diutarakan pemimpin Umno secara terbuka melalui media sebelum ini namun kenyataan tersebut tidak diambil serius oleh pimpinan Pas.

“Sebab itu, pandangan saya, Pas wajar menyambut tangan yang dihulurkan Umno melalui Annuar Musa.

“Ini bukan bererti Pas mesti bersama BN. Saya pun tidak fikir Annuar akan ajak Pas masuk (BN),” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Hotel Tanjung Vista, di sini, hari ini.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini mengusulkan supaya Umno dan Pas duduk semeja bagi mencari titik persamaan demi kepentingan umat Islam.

Mustafa yang juga Penasihat kepada Presiden Pas bagaimanapun mengakui, perkara yang dibangkitkannya adalah pandangan peribadi dan tidak pernah dibincangkan secara rasmi dengan mana-mana pihak dalam parti itu.  – Sinar Online

Artikel Berkaitan

BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here