Musa Hitam Cadang RCI Memali Lepas PRU-14

RCI MemaliSuruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi berdarah Memali yang berlaku pada tahun 1985 dicadangkan diadakan Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14).

Cadangan itu dibuat oleh Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam untuk mengelakkan disalahgunakan untuk kepentingan politik dan memancing undi oleh mana-mana pihak.

“Kepada saya tiada masalah asalkan penubuhannya adalah dengan niat betul untuk mencari fakta dan kebenaran tanpa sebarang prejudis serta penubuhannya didasarkan kepada Perlembagaan dan undang-undang negara.

“Perkara yang perlu diteliti ialah mengenai kesesuaian masa penubuhan dan prosiding yang dijalankan supaya objektif penubuhannya bukan untuk memenuhi agenda politik sempit jangka pendek hingga mengorbankan kebenaran dan tergelincir daripada matlamat mahu mencari kebenaran secara hakiki.

“Demi mengelak peristiwa Memali disalahgunakan untuk kepentingan politik dan memancing undi, adalah lebih bijak dan lebih menepati tujuan, penubuhan prosiding Suruhanjaya ini ditangguhkan sehingga selesai PRU ke-14,” katanya dalam kenyataan dipetik BH Online hari ini.

Beliau berkata tidak nampak rasional dan kebijaksanaan untuk menubuhkan RCI itu secara terburu-buru pada masa ini memandangkan isu itu telah berlaku hampir 32 tahun lalu.

“Sebaliknya, dengan menangguhkan penubuhan dan prosiding RCI untuk beberapa bulan lagi, akan meletakkan kredibiliti yang lebih tinggi kepada suruhanjaya berkenaan yang akan kelihatan lebih bebas daripada suasana panas dalam musim politik yang begitu bergelora menjelang PRU ke-14.

“Saya yakin semua pihak yang benar-benar serius dan jujur serta mahu mengetahui latar belakang dan kejadian sebenar peristiwa Memali akan bersetuju untuk RCI ini ditangguhkan sehingga selesainya PRU ke-14.

“Saya sendiri sangat insaf bahawa peristiwa Memali adalah satu titik hitam dalam sejarah negara kita. Oleh demikian, usaha siasatan atau carian maklumat hendaklah dilaksanakan dalam keadaan tenang lagi berfokus tanpa prejudis dan pilih kasih,” katanya.

Artikel Berkaitan

Apa Kata Anda

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *