Sebelum ini tersebar berita tentang seorang artis memukul isteri di salah sebuah bank di Ampang, Kuala Lumpur. Insiden tersebut didakwa dilakukan Ahmad Azhar Othman, 46, atau Awie.

Awie yang ditemui pihak Kosmo Online dan dia bertegas akan memberi penjelasan seandainya dakwaan itu dapat dibuktikan.

“Saya tiada komen berhubung insiden yang berlaku itu. Saya tidak mahu mengiyakan atau menidakkan. Kalau benar saya melakukan perbuatan itu, biar pihak lain buktikan dulu barulah saya akan memberi penjelasan,” katanya tenang.

“Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Pertengkaran dalam hal rumah tangga itu perkara biasa. Saya percaya semua orang pernah melaluinya. Namun, biarlah masalah rumah tangga hanya saya yang menyelesaikannya kerana itu adalah hak privasi,” jelas Awie lagi.

Awie juga menganggap penyebaran insiden dia membelasah isterinya merupakan satu tuduhan yang cuba memporak-perandakan rumah tangganya.

“Berita tersebut tidak langsung menyebut nama saya. Buat apa saya perlu mengaku kerana dalam Malaysia, penyanyi rock bukan saya seorang.

“Ini adalah satu fitnah. Kalau saya memberikan komen, saya tidak tahu daripada mana perkara itu timbul. Adakah daripada pihak terdekat ataupun orang luar.

“Tapi sekiranya kenyataan itu disebarkan oleh pihak luar, saya nasihatkan ‘jangan jaga tepi kain orang’ kerana menuduh tanpa bukti adalah satu fitnah dan dosa besar,” ujar Awie lagi.

Artikel Berkaitan

BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here