SHARE

Jemputan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk menghadiri Majlis Khatan Perdana di Sekolah Kebangsaan Pandan Indah, di sini tidak disenangi segelintir ibu bapa.

Wakil ibu bapa, Normala Ismail berkata, mereka membantah jemputan itu kerana Jamal dipercayai terlibat dengan pelbagai kontroversi dan tidak memberi contoh yang baik kepada pelajar.

“Kami bimbang budaya ganas yang dipamerkan Jamal Baju Merah akan menular ke dalam sekolah dengan jemputan tersebut.

“Ini bukan caranya untuk mendidik generasi muda yang merupakan harapan negara untuk masa akan datang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, Adun Chempaka, Datuk Iskandar Abdul Samad turut mempersoalkan mengenai jemputan Jamal untuk merasmikan program itu.

Iskandar berkata, ibu bapa wajar menyuarakan bantahan kerana Jamal adalah individu kontroversi dan bukannya teladan yang baik untuk anak-anak mereka.

Normala juga mendakwa, pihaknya tidak dimaklumkan perkara itu dan mereka hanya mengetahuinya apabila wajah Jamal terpampang di kain rentang yang digantung di luar sekolah sehari sebelum majlis.

“Program Khatan Perdana 2017 anjuran Pemuda UMNO Bahagian Pandan ini tidak dimaklumkan kepada semua ibu bapa Sekolah Kebangsaan Pandan Indah.

“Bukan semua pelajar sekolah tersebut berpeluang untuk menyertai program tersebut,” dakwanya.

Katanya lagi, pihaknya menggesa pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Selangor dan Kementerian Pendidikan memberi penjelasan berhubung insiden tersebut.

“Alhamdulillah di atas desakan penduduk, Jamal telah tidak hadir pada hari tersebut.

“Walau bagaimanapun kami menuntut perkara ini tidak berulang,” katanya.

Sementara itu, Jamal memaklumkan beliau tidak pernah datang ke program tersebut kerana pada tarikh majlis itu beliau berada di Program Jualan Ikan Murah di Taman Putra Perdana, Puchong.

“Saya pun tak pernah datang program (Majlis Khatan Perdana 2017) tersebut,” katanya melalui aplikasi Whasapp, hari ini. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here