Ketua Amanah Pasir Puteh, Abd Halim Mohamad menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengatakan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) menyerahkan kepada beliau dan seorang lagi individu berunding dengan syarikat untuk pembinaan Pasar Siti Hajar.

Abd Halim berkata, tohmahan itu dibuat Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang tular di media sosial.

Katanya, walaupun tidak menyebut namanya, petanda yang diberikan iaitu bekas Ahli MDPP dan ‘juara’ Pan (Amanah) jelas merujuk kepadanya.

“Video itu menyebabkan orang ramai menyebarkan nama saya dan seorang lagi individu yang dikatakan pegawai di MDPP, pada saya, fitnah ini hanya untuk melepaskan diri.

“Mohd Amar juga menjelaskan bahawa ‘dua ekor makhluk’ terlibat dalam reka bentuk pasar baharu di era Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan meminta orang ramai yang tidak berpuas hati marah kepada saya,” katanya.

Beliau berkata, fitnah seperti itu tidak wajar dilakukan apatah lagi dari mulut pemimpin besar yang dikatakan mewarisi kepimpinan ulamak.

Berikutan itu, Abd Halim membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh Sabtu lalu agar polis menyiasat mengikut seksyen diperuntukkan untuk kes fitnah seperti itu.

“Saya kecewa apabila dituduh sebagai pengacau yang cuba menghasut dan menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan negeri,” katanya kepada Sinar Harian hari ini. – Sinar Harian

Antara kata-kata Nik Amar dalam video tersebut.

“Dua ekor makhluk ini yang pergi berunding dengan syarikat pemaju pada masa Tok Guru (Nik Abdul Aziz Nik Mat) ada lagi.

“Kalau ada masalah pasar tu sempit atau lain-lain masalah pergi tanya mereka dan jangan salahkan orang lain.

“MDPP dan badan-badan lain yang membina pasar ini hanya melaksanakan keputusan kerana mereka telah dilantik mewakili majlis.

“Kalau nak komplen ruang tak muat, banyak masalah pergi cari dua orang ini dan marahkan mereka.

“Dua orang ini sekarang jadi kepala halian (juara) PAN di Pasir Puteh.

“Sekarang pihak kerajaan pula mahu disalahkan sedangkan ini kerja mereka. Minta pula Menteri Besar turun cari penyelesaian.

“Kita telah ada Yang Dipertua Majlis Daerah, kita ada Exco (Kerajaan Tempatan) merekalah kena selesaikan masalah.

“Mereka ini yang mengadakan pelbagai cara untuk menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan (negeri). Mereka sekarang menjadi pengganti Umno untuk menyerang kita.”

Artikel Berkaitan

BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here