SHARE

DiSeorang lelaki berusia lingkungan 30-an mati selepas ditikam dan dilanggar menggunakan sebuah kereta dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 malam ketika mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang dipercayai isterinya sedang mengisi angin tayar kereta jenis Volkswagen mereka di stesen berkenaan.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd berkata kedua-duanya kemudian secara tiba-tiba didatangi 4 lelaki yang cuba menarik mangsa masuk ke dalam kereta jenis BMW mereka.

Namun mangsa dilaporkan melawan dan akibat daripada itu, berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa. Melihat kejadian itu, wanita yang bersama mangsa terus melarikan diri meminta bantuan orang awam.

“Dalam pergelutan itu, mangsa berjaya meloloskan diri namun suspek kemudian naik ke kereta mereka dan membuat pusingan di stesen minyak berkenaan sebelum bertindak melanggar mangsa dan kemudian mengundurkan kenderaan dan melanggar mangsa sekali lagi sebelum melarikan diri,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Khalil berkata berikutan kejadian, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Daripada pemeriksaan, polis menemui satu kesan tikaman di dada kiri mangsa.

Menurut beliau, polis kini sedang mengambil keterangan daripada wanita asing berkenaan yang dilaporkan masih trauma akibat kejadian itu.

Motif kejadian masih disiasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Free Malaysia Today

Artikel Berkaitan

BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here