Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo malam tadi mengakui beliau individu yang ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai pada September 18 namun menafikan ia berkaitan dadah dalam bagasinya.

Menurutnya, beliau dihantar ke lokap polis apabila membantu kawannya yang cuba meleraikan pergaduhan dengan seorang lelaki yang sebenarnya adalah seorang pegawai polis tanpa seragam.

“Saya mendarat di Dubai. Di lapangan terbang, kawan saya cuba memberhentikan pergaduhan. Kemudian dia dipukul menyebabkan saya berdepan lelaki itu yang sebenarnya merupakan seorang anggota polis,” lapor Free Malaysia Today yang memetik laporan portal The Edge Markets.

“Saya dihantar ke lokap dan lelaki ini pula berminggu-minggu menangguhkan kenyataannya. Ia amat teruk. Tidak seteruk semua khabar angin yang saya dipenjarakan atas pelbagai sebab lain,” katanya.

Semalam, laporan Harian Metro memetik seorang sumber mengatakan seorang CEO syarikat telekomunikasi ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai pada 18 September kerana memiliki dadah apabila tiba dari Amsterdam, Belanda.

Laporan itu berkata individu itu pulang ke Malaysia pada Selasa selepas menjalani hukuman di penjara Al Aweer, UAE.

Dubai menjadi tuan rumah sebuah persidangan telekomunikasi antarabangsa, “Telecoms World Middle East 2017” yang berlangsung September 19-20, di mana Jason disenaraikan sebagai salah seorang yang berucap.

Tony Fernandes, pengasas Kumpulan Tune yang memiliki Tune Talk dihubungi pihak FMT namun menafikan Jason ditangkap.

“Tidak ada… mana kamu dapat maklumat mengarut itu?” jawabnya.

Menurutnya, beliau baru sahaja bercakap dengan Jason.

“Dia pergi bercuti. Dia akan membuat sesuatu yang baharu untuk saya,” tambahnya lagi.

Artikel Berkaitan

BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here