Cakar bekas suami, jawapan Abby Abadi

Pelakon Abby Abadi menganggap bekas suaminya, Muhammad Noor Farhan Che Bakar membuat tuduhan palsu mengenai pendedahan dikasari secara fizikal selepas kes penceraian mereka selesai Rabu lalu.

Abby atau Arbaiyah Abd Manan, 37, menerusi Instagram berkata, dia terkejut dengan pendedahan Farhan dan menganggap sebagai satu cara menutup cerita sebenar yang berlaku dalam rumah tangga mereka.

“Saya tiada saksi di sini cuma Allah sahaja yang maha mengetahui semu ini, terkejut saya membaca kenyataan yang dibuat Farhan kerana sehabis baik saya cuba menutup semua cerita yang tidak perlu orang luar tahu sepanjang kami bersama sebagai suami isteri,” katanya.

Sebelum ini Muhammad Noor Farhan, 24, mendakwa Abby pertama kali mencederakannya sekitar Januari lalu dengan membaling kunci motosikal ke wajahnya sehingga mengakibatkan kesan lebam selepas Abby mendapat tahu dia memberitahu seorang kenalan mereka sudah tidak mempunyai hubungan.

Abby sekali lagi bertindak agresif mencakar muka dan lengan kirinya pada 17 Mei lalu selepas dia enggan berbincang mengenai kes perceraian mereka yang dilafazkan menerusi SMS yang sedang berjalan di mahkamah.

Farhan turut mendedahkan bukti gambar kesan kecederaannya pada bahagian muka dan lengan kiri akibat dicakar oleh bekas isterinya itu kepada pihak media.

Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Shaiful Azli Jamaludin memutuskan lafaz cerai menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dibuat Muhammad Noor Farhan pada 9 Mei lalu terhadap Arbaiyah Abd Manan, 37, adalah sah mengikut rukun dan hukum syarak ditetapkan.

Dalam pada itu, Abby turut menjelaskan sebagai pasangan suami isteri rumah tangga mereka sebelum ini tidak terkecuali dilanda masalah namun apa yang digambarkan oleh bekas suaminya tidak menggambarkan situsi sebenar.

Abby juga menyangkal tuduhan Farhan mengenai kononnya dia akan marah sekiranya tidak diberikan wang adalah palsu dan hanya cerita rekaan daripada lelaki itu.

“Sebelum ini kalau bergaduh pun tetapi semuanya baik-baik sahaja. Biasalah hidup rumah tangga kan? Dah tentu ada pasang surutnya.

“Anda boleh baca, dengar apa yang dia kata tetapi percaya jangan sebab dia memang dah terbiasa menipu,” katanya.

Abby meminta peminat jangan mudah membuat telahan sekiranya tidak mengetahui cerita sebenar tentang situasi sebenar rumah tangga mereka.

Abby dan Farhan bernikah pada 9 Julai tahun lepas di Selatan Thailand dan mendapat pengesahan di Kelantan.

Pelakon siri Gerak Khas itu sebelum ini pernah melangsungkan perkahwinan dengan pelakon Norman Hakim dan dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata, lapor mStar Online.

Artikel Berkaitan

Apa Kata Anda

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *